MASJID RAZALEIGH GUA MUSANG KELANTAN : SEAKAN BERADA DI MASJIDIL HARAM MEKAH !

 Assalammualaikum & Salam Manis.......

MasyaAllah cantiknya dan Alhamdulillah syukur akhirnya sampai juga di Masjid Razaleigh ini.

Berdiri tegak di hadapan Masjid Razaleigh ini terus teringat dengan Masjidil Haram. Iya, senibina yang hampir sama dengan Masjidil Haram di Mekah ini megah berdiri di bumi Malaysia atau lebih tepat lagi di Gua Musang Kelantan. Untuk Ayie yang baru pulang mengerjakan umrah bulan 3 yang lepas, terubat rindu sedikit melihat Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram Mekah ini.

Dari luar, warna putih kelabu masjid ini terserlah dan mempunyai 9 menara setinggi 30 meter dan 7 kubah. Mirip dengan Masjidil Haram, Masjid Razaleigh ini menjadi kebanggaan kita lebih-lebih lagi untuk rakyat negeri Kelantan.

Melangkah masuk ke dalam masjid, MasyaAllah indahnya dan kagum dengan rekaan dalamannya. Ruang solat yang luas dan selesa boleh memuatkan jemaah kira-kira 3 ribu dalam satu-satu masa. Rekaan unik dari bahan berkualiti tinggi termasuk jubin yang digunakan. Lampu chandelier yang ada menambahkan cantik dan kemegahan di dalam masjid ini.



Perhatikan corak permaidani yang Masjid Razaleigh ini gunakan, ia bermotifkan bunga raya yang ditempah khas dari Iran. Rasenya hanya Masjid Razaleigh yang menggunakan motif ini sekaligus menonjolkan ciri-ciri Malaysia di situ. 


Satu lagi yang menarik perhatian adalah replika Kaabah yang didirikan di ruang tengah dalam masjid ini. Replika Kaabah dengan skrin LED yang memaparkan ayat-ayat suci Al-Quran memberikan kesan seolah-olah berada di Mekah. Bertambah jelas untuk para jemaah bila mengikuti kursus haji dan umrah di masjid ini.


Selain ruang solat yang luas dan replika Kaabah, Masjid Razaleigh Gua Musang ini juga lengkap dengan kemudahan yang diperlukan seperti bilik imam dan bilal, bilik mesyuarat dan 2 ruang pengurusan jenazah.

Masjid Razaleigh yang dibina menggantikan masjid lama sebelum ini akan menjadi mercu tanda baharu Kelantan dan masjid baru ini pula lebih indah ciptaanya membuatkan ia semakin menarik perhatian pengunjung luar untuk beribadah dan melawat Masjid Razaleigh ini.



Alhamdulliah Ayie dah sampai ke sini dan InsyaAllah pasti ingin kembali lagi mengunjungi rumah Allah ini di lain waktu dan kesempatan. Begitu juga anda semua, semoga dapat mengunjungi Masjid Razaliegh di Gua Musang Kelantan ini. Aminnn Ya Robbal Alaminnnnnn.


SUKACITA,

Ayie.





Comments

Popular posts from this blog

IDEA LIVE ARENA TINGKATKAN DAYA TARIKAN NEGARA SEBAGAI HAB HIBURAN DAN PELANCONGAN SERANTAU SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026!

ASTRO SHAW DAN MIRINDA BERKONGSI KEBERKATAN RAMADAN DENGAN MERAIKAN MEREKA YANG MEMERLUKAN

TOURISM SELANGOR AKAN MEMBAWAKAN AIZAT AMDAN DAN TAWAR DISKAUN SEHINGGA 50% DI MATTA FAIR KALI INI