FILEM JUANG PAPAR 5 KISAH INSPIRASI, PENGORBANAN DAN SEMANGAT MEMERANGI COVID 19
Assalammualaikum & Salam Manis....
Lima pengarah menghasilkan karya yang disatukan dalam sebuah naskhah dengan kaca mata dan perspektif mengenai situasi pandemik COVID 19 yang melanda dunia, dua tahun lalu.
JUANG dilahirkan dari isi hati dan perspektif lima sutradara prolifik negara iaitu Aziz M Osman, Datuk Yusry Abdul Halim, Matt Lai, Kabir Bhatia serta Osman Ali sebagai penghormatan dan apresiasi yang tiada galang ganti kepada para frontliners di Malaysia.
Menggarap filem dalam suasana pandemik dan cuba mengangkat keadaan sebenar yang cukup payah dilalui seluruh rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia umumnya bukan sebuah projek yang mudah dilakukan. Namun, layak seperti judulnya JUANG, perjuangan produksi, para kru dan pelaku seni yang cukup berdedikasi untuk memastikan naskhah bersejarah yang wajib menjadi rujukan ini terlaksana perlu diberikan pengiktirafan yang besar.
Idea dan kritisnya pandangan mereka mengenai sejarah penuh duka saat COVID 19 ‘membadai’ dunia dan negara kemudian direalisasikan hasil kolaborasi oleh Founder dan Lead Director, Matt Lai dari Asia Tropical Films Sdn. Bhd., dan Jack Lim dari The Film Engine selaku Penerbit Eksekutif.
JUANG yang dibarisi aktor dan aktres handalan berbilang kaum termasuk Zul Ariffin, Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta, Chew Kin Wah, Angelin Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor ini akan memaparkan perit getir yang diinspirasikan sepanjang dua tahun negara berdepan pandemik yang cukup meninggalkan kesan mendalam ini.
Juang Diiktiraf Malaysia Book Of Records, Cipta Rekod Karyawan Paling Ramai Terbabit Dalam Satu Naskhah.
Memantapkan projek mega ini adalah barisan 500 karyawan seni yang tidak mahu melepaskan peluang memberikan dedikasi sekaligus mencipta sejarah buat filem yang disifatkan untuk rakyat Malaysia ini. Lebih membanggakan hasil seni ini mencipta rekod apabila diiktiraf Malaysia Book of Records(MBR) sebagai Most Movie Casts In A Feature Film (Filem Dengan Karyawan Seni Paling Ramai) dengan pembabitan lebih 500 pemain industri hiburan tempatan. “Kolaborasi antara Asia Tropical Films Sdn Bhd bersama The Engine Sdn. Bhd. ini berjaya menerima pengiktirafan dari MBR apabila produksi ini membabitkan 335 pelakon dengan 100 adalah aktor dan aktres utama manakala 235 dijayakan bersama pelakon tambahan".
Jangan lupa untuk memberikan sokongan dan tanda penghargaan terhadap para frontliners kita dengan menonton JUANG, yang juga pasti akan membangkitkan perasaan haru bagaimana kita semua mampu melepasi pandemik tersebut dengan serba payah.
Jumpa anda di pawagam 8 September 2022. Para peJUANG menanti anda!
SUKACITA,
AYIE.
Comments
Post a Comment