BSN DAN PAYHUNTER PERKENAL BAYARAN TANPA TUNAI DI 24 LOKASI BAZAR RAMADAN DI KUALA LUMPUR.

 Assalammualaikum & Salam Manis....


Kemeriahan orang ramai berbelanja bazar Ramadan di Kuala Lumpur semakin dimudahkan dengan teknologi perniagaan digital. Pengunjung berpeluang menggunakan kemudahan transaksi digital di hujung jari di lebih 24 lokasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur. Ringkasnya, bila kita nak bayar, cukup scan QR, masukkan jumlah bayaran dan klik untuk membuat pembayaran. Senangnya...

Oleh itu, dalam menyokong perniagaan digital, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah bekerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) untuk memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox, terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai bagi peniaga gerai bazar Ramadan. Pelancaran ini sejajar dengan rancangan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Majlis pelancaran yang berlangsung pada 23 Mac 2024 yang lalu dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang turut menyaksikan pelancaran Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pertama dengan fungsi pembayaran menerusi Kad oleh BSN dan PayHunter. Pelancaran produk digital ini bertujuan untuk membantu para peniaga dengan menyediakan akses pantas, selamat dan terus ke akaun mereka tanpa kerumitan mengendalikan wang tunai.




BSN DuitNow QR Soundbox kini tersedia dan diaktifkan penggunaannya di 24 lokasi bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur sekaligus memberi manfaat kepada para peniaga gerai dan pengunjung bazar Ramadan. Penggunaan terminal ini adalah selaras dengan kejayaan program #TechMeToBazaar pada tahun lepas di bazar Ramadan TTDI yang mana ia bukan sahaja mempamerkan komitmen BSN dan PayHunter meningkatkan landskap perdagangan digital malah turut sama memperkasakan kebolehupayaan digital bagi PMKS.

BSN dan PayHunter juga telah bekerjasama untuk menawarkan peniaga bazar Ramadan sama ada baharu dan sedia ada peluang untuk menjadi pedagang BSNeBiz. Lebih istimewa, kesemua peniaga bazar Ramadan di 24 bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma. Penggunaan peranti ini bakal memudahkan operasi peniaga di samping menjanjikan transaksi yang selamat.





Beruntung peniaga bazar Ramadan di KL dengan kerjasama ini memandangkan Bank Simpanan Nasional BSN merupakan bank " legend " negara kita yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan rekod perkhimatan kewangan yang terbaik. Maka, ini menjadi salah satu faktor untuk para peniaga menggunakan BSN DuitNow QR Soundbox ini tanpa ragu-ragu.


Sementara itu, Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pula akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini. BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu di mana peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannya menjana kod QR secara automatik. Pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran.

Semoga kerjasama antara BSN dan PayHunter serta beberapa lagi rakan digital iaitu PayNet, My Evolution akan mengembangkan lagi sistem pembayaran digital di negara kita sekaligus menambah keuntungan dan memberi kesan positif kepada perniaga.


Untuk maklumat lanjut mengenai terminal pembayaran, anda boleh layari laman Facebook PayHunter https://www.facebook.com/payhunter.com.my atau hubungi: Brandon Wong di brandon@tech-hunter.com.my.


SUKACITA,

AYIE.



Comments

Popular posts from this blog

EKPLORASI TASIK KENYIR : Bersama UMT & MEDIA SOSIAL - 24 JAM Pertama.

BATAM - EPISOD 2 : NAIK RORO KE PULAU BINTAN..

KG JKIN RESORT : APA CITER ATV TERMURAH & HIKING KE KAWASAN MAHLUK HALUS ??!!