SUPAMALA HOTPOT LAKAR SEJARAH SEBAGAI RESTORAN HOTPOT SZECHUAN PERTAMA DIIKTIRAF HALAL DI MALAYSIA

 Assalammualaikum & Salam Manis...

Supamala Hotpot, yang terletak di pusat beli-belah Sunway Pyramid, telah diisytiharkan sebagai restoran hotpot Szechuan pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan halal. Majlis pembukaan rasmi restoran tersebut pada 7 Mac 2024 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Ramanan Ramakrishnan merupakan satu pencapaian penting dalam sektor perniagaan makanan dan minuman di Malaysia.


Pencapaian ini menekankan komitmen Supamala untuk membawa pengalaman hotpot Szechuan yang asli kepada masyarakat di negara ini sambil mematuhi standard halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Inspirasi yang mendorong ke arah terhasilnya Supamala bermula apabila salah seorang pengasasnya sering ke Xinjiang, China dan mengalami sendiri keunikan masakan hotpot Szechuan mala di sana lalu memutuskan untuk berkongsi pengalaman tersebut bersama warga tempatan di Malaysia.


Sekarang kita boleh menikmati hotpot Szechuan mala yang cukup pedas dan enak ini tanpa was-was. Kalau di media sosial Ayie sering melihat teknik makanan ini yang mencelupkan bahan-bahan seperti daging, sayur dan sebagainya ke dalam kuah yang tertentu sebelum memakannya. Kini, Ayie boleh merasainya sendiri dan ianya memang menyelerakan dan kuah Szechuan di Supamala Hotpot memang pedas...!





Dengan berilhamkan budaya makan bersama yang diamal masyarakat Malaysia, Supamala Hotpot direka sebagai ruang untuk berkongsi emosi dan mencipta kenangan bersama rakan dan keluarga. Proses mendapatkan sijil halal yang mengambil masa tiga bulan tercapai dengan mengatasi cabaran melalui penyelidikan, membina kerjasama dengan pembekal yang diiktiraf halal dan boleh dipercayai, serta melaksanakan protokol ketat dari segi kebersihan alatan, premis dan pekerja.




Sewaktu Ayie masuk ke restoran Supamala Hotpot ini dan melihat dekorasi restoran dan susunan alatan makan di atas setiap meja pun sudah menarik perhatian dan semakin tidak sabar untuk mencuba Supamala hotpot ini. Setiap pekerja sangat ramah dan mesra melayan pelanggan dan mengajari teknik makan dekat Ayie yang baru pertama kali mencuba makanan ini.






Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Exco Negeri Selangor bagi Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi turut hadir ke majlis itu dan berkesempatan untuk memberikan pembuka kata. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, dalam ucapannya berkata, "Dengan mencipta ruang di mana nilai-nilai Islam tradisional diselarikan dengan trend masakan moden, SUPAMALA menyumbang kepada kekukuhan ekonomi Selangor, selain menjadi titik rujukan bagi pengunjung yang datang ke negeri Selangor merasai sendiri pengalaman hasil kolaborasi antara budaya, sepertimana yang kita lihat hari ini, antara Malaysia dan China."


Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan rasmi sijil halal kepada restoran Supamala Hotpot, yang diwakili oleh pengarahnya, Datuk Azmi Hassan. Selain itu, restoran masakan Cina itu juga diberi pengesahan rasmi melalui penyerahan sijil Malaysia Book of Records yang mengiktirafnya sebagai restoran hotpot Szechuan pertama di Malaysia yang diiktiraf halal. Upacara itu juga menampilkan penampilan istimewa oleh selebriti terkenal Malaysia, Farah Nabilah dan Diana Danielle, yang terlibat dalam sesi interaktif bersama tetamu.


"Anugerah pensijilan halal yang dicapai oleh Supamala bukan hanya untuk melengkapkan sesuatu syarat dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) tetapi merupakan bukti komitmen kerajaan untuk mencipta persekitaran ekonomi yang memenuhi keperluan pelbagai masyarakat di Malaysia, terutamanya penduduk Muslim dan juga pelawat antarabangsa," ungkap Ramanan dalam ucapan perasmian beliau.


Dengan menu yang pelbagai merangkumi 70 hidangan dengan lapan jenis kuah, termasuk kuah Szechuan Mala yang terkenal dengan sensasi kekebasan yang unik, Supamala Hotpot menyediakan pengalaman gastronomi yang tiada tandingan. Sempena Ramadan, Supamala menawarkan pakej istimewa dari 12 Mac hingga 12 April 2024, yang terdiri daripada Pakej Asas (bermula dari RM49.90 seorang), Pakej Makanan Laut (bermula dari RM69.90 seorang), dan Pakej Mewah (bermula dari RM119.90 seorang), yang kesemuanya boleh didapati sepanjang hari selama tempoh promosi berlangsung.



Supamala Hotpot merancang untuk membuka tiga cawangan di Lembah Klang menjelang penghujung tahun 2024, dengan visi jangka panjangnya untuk membuka dalam 20 buah restoran Supamala di seluruh Malaysia. Penubuhan cawangan-cawangan ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Supamala dalam landskap F&B negara, menawarkan pengalaman makanan hotpot Szechuan halal yang unik dan inklusif kepada peminat makanan Malaysia.

SUPAMALA HOTPOT

Lot LG2.122C, Pusat Beli-Belah Sunway Pyramid,

3, Jalan PJS 11/15, Bandar Sunway,

47500 Petaling Jaya, Selangor


SUKACITA,

AYIE.

Comments

Popular posts from this blog

EKPLORASI TASIK KENYIR : Bersama UMT & MEDIA SOSIAL - 24 JAM Pertama.

BATAM - EPISOD 2 : NAIK RORO KE PULAU BINTAN..

DAE GA KOREAN GRILL & BBQ - RESTORAN AUTHENTIC KOREA DAN MUSLIM-FRIENDLY !!