DI MANA NAK SANTAI @ HEALING DI PORT DICKSON? JAWAPANNYA : PD FOREST SUNGAI MENYALA!
Assalammualaikum & Salam Manis...
PD Forest @ Sungai Menyala: Sekeping Syurga Hijau
Di sebalik pesona pantai yang menggamit, PD Forest berdiri megah di Port Dickson, sebuah mahakarya ekopelancongan hutan yang tersendiri. Terletak di lingkungan hutan simpanan kekal yang menyimpan seribu satu rahsia alam, ia menanti untuk dirungkai.
Hutan ini adalah permata yang jarang ditemui, warisan hijau yang membisikkan kisah flora dan fauna yang menghijau — Hutan Dipterokarp Tanah Pamah, satu-satunya sisa peninggalan hutan dataran rendah seumpamanya di negara ini, terbentang luas seluas 1,280 hektar.
Di sini, pengunjung dijemput untuk hanyut dalam ritma alam: meneroka kedalaman rimba, meniti denai dengan basikal, mencari keheningan di bawah kanopi yang teduh, atau menanti gugusan bintang di langit malam. Bagi jiwa yang mendamba ketenangan sejati, ia menyediakan ruang untuk berkhemah dan berinteraksi dengan keindahan sunyi.
Bukan sekadar syurga untuk rekreasi, ia juga menjadi saksi bisu kepada ilmu dan perkongsian, menyediakan tempat yang inspiratif untuk kursus, bengkel, dan mesyuarat, menggabungkan kesegaran alam dengan ketenangan minda.
PD Forest @ Sungai Menyala adalah sebuah panggilan untuk kembali kepada fitrah, tinggalkan dunia batu di kota sebentar dan menghirup oksigen segar.
PENYELIDIKAN HUTAN.Diklasifikasikan sebagai hutan Keruing-Meranti Merah kerana didominasi oleh pokok berharga spesies Meranti Merah dan Keruing, PD Forest menunjukkan kepakaran mereka mengambil benih pokok-pokok ini yang berada di ketinggian yang menggerunkan hanya untuk mendapatkan benih yang berkualiti tinggi dan bermutu supaya khazanah ini tetap kekal terpelihara. Banyak petak-petak penyelidikan wujud di PD Forest ini untuk kajian dan sumber ilmu.
![]() |
BIJI BENIH POKOK MERANTI |
MASUK HUTAN.
Jom masuk hutan dengan langkah kaki atau berbasikal. Beberapa denai boleh kita pilih. Untuk Ayie yang jenis jalan sikit dah penat, Denai Razani sesuai untuk Ayie. Merentas hutan melalui Denai Razani cukup buat Ayie melihat keunikan spesies flora dan fauna yang tumbuh indah di tanah PD Forest ini. Bau segar hutan dan bau tanah pamah pasti memberi ketenangan jiwa. Melihat lagi Tongkat Ali, Pakis liar dan tinggalan pokok mati yang pernah tumbuh gah di bumi ini pasti jadi aktiviti sihat untuk badan dan minda.
JAM MATAHARI & MENCERAP BINTANG di DATARAN ASTRONOMI.
Pertama kali melihat jam matahari yang sebenar bikin hati kagum dan wow! ya, di sini kita boleh melihat dengan mata kepala sendiri bentuk dan rupanya jam matahari. Dibina dengan ukuran sebenar dan tepat jam matahari ini menunjukkan arah kiblat dan waktu solat berdasarkan bayang-bayang matahari.
Bermula apabila ada permintaan dari Balai Cerap Teluk Kemang yang ingin mencari lokasi gelap dan kurang pencemaran cahaya untuk melakukan pengumpulan data cerapan astronomi, maka wujudlah Dataran Astronomi di PD Forest. Ia menjadi tumpuan pengunjung pada malam hari untuk melihat bulan, bintang, planet ataupun galaksi bima sakti. Waktu Ayie pergi, Ayie lihat planet Zuhal. Merasa la melihat salah satu planet yang ada kat dunia ni. Untuk mereka yang meminati ilmu astronomi, berhubung rapatlah dengan Balai Cerap Teluk Kemang kerana sempena tahun melawat Negeri Sembilan 2026 nanti mereka banyak aktiviti-aktiviti astronomi yang disusun untuk penggemarnya.
TIDUR DI PD FOREST @ SUNGAI MENYALA.
Selain berkhemah di hutan PD Forest, ada pilihan tidur di dalam bangunan utama yang senibinanya menerapkan elemen tradisional melayu dan resort kontemporari yang membangkitkan suasana berbeza disamping kesegaran dan keindahan kawasan yang dikelilingi pelbagai pokok hutan yang tinggi. Kapasiti penginapan yang mampu memuatkan sehingga 80 orang dengan tawaran bilik utk 2 orang dan dormitori sebanyak 5 unit untuk keselesaan pengunjung.
Bangunan utama ini juga menjadi titik mula untuk semua urusan dan aktiviti. Pejabat, pusat infomasi dan dewan taklimat yang ada sering menerima tempahan untuk kursus dan majlis. Malah, dewan mereka sering penuh dengan tempahan majlis keramaian seperti kenduri kahwin. Konsep forest wedding gitu ! kahwin dalam suasana hutan semula jadi. Wow!!
Oleh yang demikian, sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 , PD Forest @ Sungai Menyala membuka pintunya lebar-lebar untuk pengunjung menikmati Hutan Simpan Dipterokarp Pamah dan beraktiviti di dalamnya.
PD FOREST SUNGAI MENYALA
N8, Jalan Sua Betong, Port Dickson,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06 - 6463917 ( Isnin - Ahad : 8 pagi - 6 petang )
Apa laie, meh la poie sini.......
SUKACITA,
AYIE.
Comments
Post a Comment