JERAM BERUNGUT : MENCARI ' LORD OF THE RINGS MALAYSIA' DI HUTAN KENABOI.

Assalammualaikum & Salam Manis... 

Lupakan seketika trekking biasa. Di sini, di jantung Taman Negeri Kenaboi, tersembunyi sebuah ngarai (canyon) kristal yang digelarkan oleh ramai sebagai lokasi 'Lord of The Rings Malaysia'."

Kenalkan, Jeram Berungut yang wujud di dalam Hutan Simpan Kenaboi yang merupakan Hutan Dipterokap Bukit. Ngarai raksasa yang terpencil, misteri dan air jernih yang mengalir. 

Ia bukan laluan mudah tapi tak susah untuk kita sampai. Ia memerlukan usaha yang setimpal untuk kita sampai lalu menikmati alam ciptaan tuhan ini. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. 

Trek Ayie dan kawan-kawan bermula di pejabat Taman Negeri Kenaboi. Pendaftaran dan urusan permit adalah benda wajib buat. Penerangan keselamatan oleh guide kami hari itu En Tom ( 013 - 6148044 ) dan dibantu oleh beberapa anggota keselamatan kerana ekplorasi Jeram Berungut ini melibatkan media dan program khas Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Terima Kasih kru Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Abang Bomba.

Lagi, pemakaian jaket keselamatan adalah wajib sebab ada beberapa laluan sungai yang mempunyai arus deras dan dalam. Ayie memang akan pakai jaket keselamatan sebab tak reti berenang dan akan rasa selamat pakai benda alah tu bila buat sebarang aktiviti air. Tidak lupa jugak pakai kasut yang sesuai untuk aktiviti air dan gunakan beg kering ( dry bag ) untuk lindungi gajet dan barang kita.

Kena kira juga jumlah peserta yang terlibat. Ialah, kau masuk 15 orang, tapi tiba-tiba kurang, mesti ada yang tertinggal atau tiba-tiba ada lebih sorang, ahh..sudah..apa maksudnya tu...? 

Bla.. Bla.. Bla.. Cukup semua, kami mula. Permulaan yang mudah. Laluan denai yang kiri kanan pokok dan flora fauna hijau segar seperti orkid-orkid liar, tumbuhan herba, paku pakis dan palma kami lalui sebelum ia berubah menjadi meredah anak sungai. 







Maka, mulalah cabaran merempuh air. Bukan hanya berjalan di tepi sungai. Atur langkah yang cermat perlu untuk mengelakkan salah langkah. Mengelak terpijak batu licin dan kayu reput agar tak jatuh terduduk kejebur dalam sungai. Adoiiii. Hati-hati kawan. 



Waktu ni lah guide dan kru pengiring Jabatan Hutan N9 akan ajar teknik yang betul dan selamat waktu nak meredah arus yang deras, dalam dan berbatu. Ada kalanya air sungai paras betis lepas tu kejap lagi kat depan paras dada pulak. Jom kita terjah! Pantang mundur kecuali operasi! 




Bila nak sampai ni..? Lagi 5 minit je. Iya, lepas 5 minit dari beberapa puluh minit selepas tu, baru lah sampai ke  "Lord of the rings Malaysia" ni. Jeram Berungut.


Masya Allah, betapa indahnya permandangan ini. 

Di hadapan kami terbentang dinding-dinding batu gergasi yang tegak mencacak di kiri dan kanan sungai. Cahaya matahari menembusi kanopi hutan, mencipta lukisan sempurna alam semula jadi di atas air kristal.”




Inilah lembah dan ngarai menakjubkan tersembunyi di Hutan Simpan Kekal Negeri Sembilan yang perlu dipelihara dan dikekalkan untuk anak cucu kita nanti. 




Terpengun dan rasa puas hati kerana berjaya menempuh trek sungai untuk disajikan dengan permandangan indah dan damainya di Jeram Berungut ini. 

Tak buang masa, posing-posing ambil gambar ambil video untuk tatapan masa depan. Gambar cantik nak post kat tiktok biar orang komen "kat mana ni?" "cantiknya bestnya". 

Lepas tu barulah berenang di kolam semula jadi yang dingin, bergambar di antara celah batu, buat konten atau hanya berehat sambil mendengar bunyi air mengalir.





Untuk lebih menyeronokkan, ada satu aliran arus deras dan dalam yang telah disediakan tali untuk menongkah arus deras tersebut ke satu titik dimana kita boleh berpijak dan terjun ke dalam arus deras itu dan membiarkan diri hanyut mengikut arus. Syok ooooo.. Percubaan pertama takut-takut, tapi kedua ketiga kau dah terer!



Jeram Berungut bukan sekadar tempat cantik, tetapi satu pengalaman yang menguji mental dan fizikal. Perjalanan yang takde lah susah sangat dan sangat berbaloi.

Cukup waktu, masa untuk pulang. Tinggalkan Jeram yg indah ini dengan menyelusuri sungai kembali dan ada waktu-waktu kami menghanyutkan diri terapung mengikut aliran sungai. Sampai kat bahagian cetek dan berbatu, sakit bontot kena cucuk batu. Hahaha.. 

Bagaimana? Nak pergi ke? 

Harus la pergi. Siapa yang dah pernah pergi, ceritalah pengalaman korang. Sama ke seperti yang Ayie rasa. Siapa yang belum pergi, hubungilah mereka- mereka ini dan rancanglah perjalanan anda. 

Taman Negeri Kenaboi. 

Pejabat Perhutanan Negeri. 

06 - 7659849/9875

06 - 7602496

Isnin - Ahad ( 8 pagi - 5 petang ) 

Apo tunggu laei Jang, poi la copek! 


SUKACITA, 

AYIE. 




Comments

Popular posts from this blog

HOTEL PREMIERA KL SEMARAKKAN HARI KEMERDEKAAN KE 68 DENGAN MERDEKA WARISAN HI-TEA!

FELDA LANCARKAN GULA FELDA EDISI KHAS 500G DI KARNIVAL MEGA 3 DIMENSI 2025!

Samsung Galaxy Z Fold7 & Flip7 Kini di Malaysia: Inilah Apa yang Anda Perlu Tahu